mutakhir

Beri amaran dulu...

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

POLIS mengeluarkan 10 notis amaran kepada orang awam di Terengganu atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika kunjung-mengunjungi pada Aidilfitri, semalam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, mereka yang diberi amaran akur kepada arahan dan tidak ada tindakan kompaun dikeluarkan pada hari raya pertama.

Menurutnya, mereka patuh dengan arahan kerajaan bahawa aktiviti ziarah sempena Aidilfitri dihadkan pada hari pertama sahaja dengan terhad kepada ahli keluarga terdekat dan tidak melebihi 20 orang pada satu masa.

"Pada hari raya pertama, sebanyak 33 pasukan petugas diarahkan untuk membuat rondaan dan memeriksa 31 kampung dan 21 taman perumahan dengan 42 keluarga diperiksa sebelum amaran dikeluarkan.

"Hasil rondaan dan pemantauan dilakukan mendapati rakyat di negeri ini patuh kepada SOP dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau operasi sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Padang Landak, Jertih, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad.

Sebanyak lapan SJR dilaksanakan di seluruh Terengganu dengan empat di Besut, tiga di Kemaman dan satu di Hulu Terengganu.

Katanya, jumlah kenderaan yang melalui jalan utama di negeri ini ketika musim perayaan juga berkurangan berbanding sebelum ini.

"Hampir semua kenderaan yang melalui SJR sejak semalam terutama orang awam mempunyai surat kebenaran atau permit untuk bergerak keluar masuk sempadan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 25, 2020 @ 4:35pm
    d