mutakhir

'Bukan diskriminasi' - Dr Noor Hisham [METROTV]

Oleh Saipul Adli Mohamad; Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi

TIADA istilah diskriminasi kepada anak-anak barisan hadapan terutama warga kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang ditempatkan di taska, sebaliknya tempat khas diwujudkan bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun prosedur operasi standard (SOP) berkaitan itu belum dibentangkan ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) lagi dan masih diperhalusi sebelum dicadang untuk dibentang.

Menurutnya, pihaknya bukan mengasingkan anak-anak warga KKM ini sebaliknya menyediakan satu tempat khas buat mereka di taska.

"Bukan kita sekat, kita khaskan anak-anak barisan hadapan dari KKM. Kalau taska di hospital tidak ada masalah, tapi kalau bergaul kanak-kanak lain kita kena khaskan.

"Ini bukan pengasingan tapi khaskan ke satu tempat. Kita beri pengawasan khusus kepada anak-anak petugas kesihatan.

"Mungkin cara kita ini dilihat seperti kita asingkan, tetapi sebenarnya ini memberi perhatian khusus kepada mereka," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM tiada diskriminasi dalam memberi rawatan tetapi apa yang dititik beratkan mengurangkan risiko terkena jangkitan.

"Perkara ini perlu dibentangkan ke MKN sebelum boleh dilaksanakan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan terdapat permintaan daripada golongan pakar pediatrik supaya SOP taska yang dikemas kini itu dibatalkan kerana ia dilihat sebagai satu bentuk 'diskriminasi' apabila anak-anak petugas barisan hadapan kekal berada di rumah atau sekiranya dihantar ke taska, perlu 'diasingkan' daripada kanak-kanak lain.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 25, 2020 @ 6:27pm
    d