mutakhir

Polis tingkat kawalan di lebuh raya di Kedah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

POLIS mempertingkatkan kawalan dua laluan keluar masuk di Lebuhraya Utara Selatan di Kedah untuk memastikan tiada individu merentas negeri tanpa kebenaran.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, sebelum ini anggota polis dan tentera hanya melakukan pemeriksaan dan tapisan kenderaan di laluan masuk di negeri itu tetapi sekarang perlu dilakukan di dua laluan.

Beliau berkata, ia perlu untuk memastikan pemandu yang keluar masuk di negeri ini mempunyai surat kebenaran sah dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk merentas negeri.

"Memang banyak alasan yang diterima, namun kita tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan kepada mereka yang tidak mempunyai surat kebenaran.

"Dalam pada itu, sebanyak 140 pasukan pemantau Covid-19 juga akan melakukan rondaan di jalan raya dan lebuh raya bagi memastikan tidak ada yang curi merentas negeri," katanya ketika ditemui ketika melakukan pemeriksaan pasar raya Aeon Big, di Alor Setar, hari ini.

Zainuddin berkata, selain itu, pasukan pemantau juga akan melakukan rondaan di setiap rumah ke rumah memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, pemeriksaan di kediaman bukan untuk menyusahkan orang ramai tetapi untuk memastikan rakyat dapat turut sama memutuskan rantaian Covid-19.

"Kebanyakan penghuni rumah memberi kerjasama baik dan memberitahu anak mereka tidak dapat pulang ke kampung disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Hasil pemeriksaan kita hari ini mendapati, kenderaan banyak di halaman rumah adalah milik ahli keluarga yang tinggal di negeri ini," katanya.

Zainuddin turut mengesahkan tiada laluan kampung atau laluan pintas di kawasan luar bandar di Kedah ditutup kerana jika ada yang hendak merentas negeri, mereka perlu menggunakan lebuh raya yang dikawal pihak berkuasa sepenuhnya.

Katanya, kebanyakan jalan yang ditutup adalah di sempadan kawasan Pulau Pinang dan Perak seperti yang tular di laman sosial.

"Namun jika ada sebarang maklumat berkaitan individu merentas negeri di laluan tikus di negeri ini, mereka boleh memaklumkan kepada polis untuk memudahkan tindakan diambil," katanya.

Dalam pada itu, Zainuddin berkata, sebarang bentuk hiburan termasuk pusat snuker tidak dibenarkan beroperasi di negeri ini.

Katanya, semalam ada tangkapan membabitkan individu yang berada di pusat snuker di Sungai Petani dan tidak sepatutnya berlaku.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 26, 2020 @ 8:38pm
    d