mutakhir

Tangani isu warga asing dan PATI dengan baik [METROTV]

Oleh Murni Wan Omar dan Muhaamad Hafis Nawawi

KERAJAAN bertindak secara berperikemanusian terhadap pekerja warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam menanggani isu Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemimpin politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak perlu menjadi hero dalam soal Pati ini kerana kerajaan sudah bertindak sebaiknya.

Menurutnya, sebenarnya pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mungkin keliru kerana warga asing mempunyai dua kategori iaitu mereka yang mempunyai permit kerja untuk masuk secara sah ke negara ini manakala yang kedua mereka yang tidak mempunyai sebarang dokumen.

"Yang masuk secara sah, mereka ini dilindungi sebagai pekerja yang dapat permit sah seperti pekerja ladang diberi rumah begitu juga sektor lain pelbagai faedah diberi majikan.

"Kita juga jaga kepentingan mereka. Sebagai contoh apabila ada kes Covid-19 di tapak pembinaan di Selangor dan Kuala Lumpur di mana mereka perlu menjalani ujian swab untuk menjaga kesihatan mereka...jadi tiada isu sebenarnya," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Suhakam di mana kerajaan tidak berlaku adil kepada pekerja warga asing termasuk PATI.

Ismail Sabri berkata, pekerja warga asing memang diperlukan di tapak pembinaan, perladangan dan sektor lain sebab itu kerajaan memberi layanan yang baik kepada mereka termasuk mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Manakala bagi kategori kedua pula mereka yang masuk secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau permit kerja di mana yang ini kita ambil tindakan namun tetap dilakukan secara berperikemanusian dengan menempatkan mereka di depoh dengan diberi makanan secukupnya.

"Malah kita buat saringan 100 peratus kepada Pati ini supaya mereka selamat dan jika positif Covid-19, mereka akan terus dihantar ke hospital sementara seperti di Maeps yang cukup cantik kerana kerajaan membelanjakan jutaan ringgit untuk tempat itu. Malah kita turut menambah semalam kerana tidak mencukupi," katanya.

Beliau berkata, kerajaan selamatkan mereka dan ditempatkan di kawasan yang baik, jadi hendak kata kerajaan tidak berperikemanusiaan itu tidak betul namun status mereka tetap Pati.

"Kita akan berbincang dengan negara asal supaya dapat mengambil semula rakyatnya untuk dihantar pulang kerana kita tidak mahu penjarakan mereka ini dan dapat menyelesaikan isu Pati.

"Kalau tuduhan kata kita serbu waktu PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) sebagai contoh di Selangor Mansion ia tidak tepat kerana selepas PKPD ditamatkan di situ takkan kita nak biarkan 586 Pati di situ bergerak bebas di mana ia melanggarkan kesalahan jika imigresen membenarkan mereka bebas," katanya.

Katanya, sebab itu mereka ini dibawa ke depoh tahanan dan disaring dua kali dan jika negatif akan dihantar pulang ke negara asal.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 27, 2020 @ 3:15pm
    d