mutakhir

Marhaban di halaman rumah pagi Aidilfitri [METROTV]

Oleh Omar Ahmad

KEMERIAHAN Syawal pertama tetap dirasai penduduk Blok 4 Peringkat 2, Air Tawar 1, di Kota Tinggi dengan melakukan marhaban di halaman rumah masing-masing walaupun dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kontraktor, Azudin Atan, 33, berkata, idea itu timbul bagi memeriahkan suasana sambutan hari raya kepada penghuni di 24 kediaman kawasan itu tetapi dalam masa sama tetap patuh dengan peraturan PKPB.

Katanya selepas mendapat persetujuan dari ketua kampung Air Tawar 1, set speaker dipasang di halaman rumahnya.

"Malam raya selepas Isyak, kami alunkan tabir raya serta lagu raya bagi meriahkan suasana normal baru. Marhaban pula kami buat pada pagi Syawal selepas selesai solat sunat hari raya di rumah masing-masing. Jam 10 pagi hampir semua penghuni keluar di halaman rumah untuk berselawat bersama.

"Hari raya adalah yang dinantikan semua terutama warga emas yang menanti kepulangan anak mereka. Kebanyakan anak penghuni di kawasan perumahan ini bekerja di luar Johor. Jadi memang rasa sunyi.

"Sedikit sebanyak marhaban dapat mengubat kerinduan serta kesunyian mereka. Sebelum PKP pun setiap tahun memang ada marhaban dari rumah ke rumah, tetapi tahun ini berlainan kita buat ikut peraturan ditetapkan. Tiada kunjungan ke rumah, hanya berselawat di luar rumah," katanya ketika dihubungi.

Menurut Azudin, dia tidak menyangka video berdurasi 7 minit 8 saat yang dikongsinya menjadi tular di media sosial sehingga mencecah lebih 7,000 tanda suka serta 800 perkongsian.

"Memang tidak sangka jadi tular, ramai yang kongsi. Tidak melanggar peraturan kerana mereka berada di kawasan rumah masing-masing," katanya yang juga memimpin bacaan marhaban itu.

Kebanyakan netizen melahirkan rasa seronok dengan kesepakatan dalam kalangan penduduk di kawasan itu.

Malah mereka memuji masih boleh memelihara hubungan kejiranan tetapi dalam masa sama patuh dengan peraturan PKPB yang ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 27, 2020 @ 4:26pm
    d