mutakhir

Tunggu arahan untuk sanitasi Depot Tahanan Imigresen [METROTV]

Oleh Rosyahaida Abdullah

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia melakukan sanitasi dan disinfeksi di tiga depot tahanan imigresen di Semenyih, Bukit Jalil dan Sepang dari semasa ke semasa jika wujud keperluan serta arahan untuk berbuat demikian.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya sejak Mac lalu sudah pun melaksanakan proses itu di semua lokasi berkenaan sebelum penularan jangkitan Covid-19 berlaku membabitkan pekerja asing yang ditempatkan di situ.

Namun, beliau berkata, memandangkan ketika ini ada penghuni di dalam, proses sanitasi awam akan hanya dilakukan di sekitar depot tahanan terbabit.

"Saya tiada angka (jumlah disinfeksi yang dibuat) bersama saya pada hari ini cuma kita memang laksanakan, Depot Tahanan Imigresen ini memang antara sasaran lokasi untuk kita laksanakan sanitasi awam dan disinfeksi.

"Sekiranya wujud tempat (depot tahanan) tertentu yang sudah dikosongkan, tentunya kita akan laksanakan disinfeksi di bahagian dalam melalui unit HAZMAT (Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya) JBPM yang berkepakaran khas.

"Apapun, pada masa ini, kita masih lagi menunggu arahan selanjutnya hasil kordinasi antara Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tujuan pembersihan dan nyahcemar di semua depot ini nanti.

"Tugasan sanitasi awam dan disinfeksi juga bukan hanya di depot tahanan malah membabitkan balai polis dan pusat fasiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penjara," katanya kepada pemberita ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan sempena hari terakhir pembabitan JBPM dalam Ops Lancar di Plaza Tol Sungai Besi susulan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Dalam pada itu, Mohammad berkata, hampir 6,000 warga JBPM yang terbabit dalam Ops Covid-19 sudah selesai dalam urusan tuntutan elaun khas yang disediakan kerajaan.

"Alhamdulillah, setakat ini semua yang melaksanakan tugas sepanjang Ops Covid-19 layak membuat tuntutan yang mana tuntutan untuk Februari, Mac dan April sudah kita bereskan.

"Setakat ini tidak ada masalah dan kerjasama pihak kementerian dan juga Kementerian Kewangan amat baik. Jumlah untuk warga JBPM saja di seluruh negara hampir 6,000 meliputi tujuh task (tugas) yang kita laksanakan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tempoh Ops Lancar membabitkan JBPM yang hanya tujuh hari pada tahun ini berbanding tahun-tahun lalu, Mohammad berkata ia dipengaruhi oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.

"Dulu kita mulakan seminggu sebelum (raya) dan berakhir seminggu selepas (raya) tetapi kali ini oleh kerana memang sudah ada sekatan jalan raya dan pergerakan ini dihadkan, kita percaya jumlah aliran trafik ini tidaklah begitu tinggi seperti tahun sebelum ini," katanya.

Menurut beliau, selama seminggu sejak 21 Mei lalu, kira-kira 12 anggota JBPM ditempatkan di setiap stesen tol terpilih di seluruh negara bagi operasi itu sebagai langkah siapsiaga untuk sebarang kecemasan khususnya kemalangan dan kebakaran.

Tujuh plaza tol yang terbabit adalah Kampung Hutan (Kedah), Juru (Pulau Pinang), Jalan Duta (Kuala Lumpur), Sungai Besi (Kuala Lumpur), Skudai (Johor), Gombak (Selangor) dan Gambang (Pahang).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 27, 2020 @ 10:08pm
    d