mutakhir

Kos kuarantin penuntut pulang tanah air ditanggung [METROTV]

Oleh Murni Wan Omar dan Muhaamad Hafis Nawawi

MULAI 1 Jun ini, kos kuarantin pelajar tajaan luar negara yang tamat pengajian dan mahu kembali ke tanah air akan ditanggung oleh penaja dan kerajaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini sudah membuat keputusan semua pelajar tajaan di luar negara yang tamat pengajian, pihak penaja bertanggungjawab menampung kos kuarantin selepas mereka pulang ke Malaysia.

Menurutnya, ibu bapa kini tidak perlu bimbang kerana kos akan ditanggung oleh kerajaan dan penaja itu sendiri namun kuarantin 14 hari tetap wajib dijalani.

"Setakat ini rakyat kita di luar negara yang berdaftar di pejabat kedutaan kita sudah tandatangan dan buat akujanji untuk membayar 50 peratus kos hotel. Sehingga kini 18,000 sudah mendaftar untuk pulang ke tanah air.

"Antaranya adalah pelajar yang tamat tempoh pengajian yang tidak perlu lagi berada di luar negara. Oleh itu mesyuarat memutuskan mereka yang terpaksa pulang dan ditaja oleh agensi kerajaan atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kos hotel itu mesti ditanggung separuh oleh kerajaan dan separuh oleh penaja," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 28, 2020 @ 4:11pm
    d