mutakhir

Covid-19: Buka sekolah, bergantung kadar jangkitan sehingga Jun

Oleh Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid

KEPUTUSAN sama ada membuka lebih banyak sektor, termasuk persekolahan dan sosial bergantung impak musim perayaan berkaitan kadar kes baharu jangkitan Covid-19 di negara ini yang akan dilihat 9 Jun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kadar kes semasa wabak itu ketika ini menepati unjuran dan model yang dirangka Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), khususnya dalam mencatatkan penurunan kes kepada dua serta satu digit.

Katanya, keberkesanan kawalan penularan jangkitan menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) itu tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama semua pihak, termasuk masyarakat yang sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

"Kalau nak lihat model dan unjuran, pastinya kita sudah lakukan yang terbaik, malah unjuran kita sebelum ini menyatakan bahawa Malaysia akan capai kes kepada satu digit.

"Hari ini, apa yang lebih penting, kita berjaya tukar strategi dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke PKPB dan selepas 25 hari, iaitu sejak 4 Mei, kejayaan PKPB mula menampakkan kesan meskipun pelbagai kelonggaran diberikan.

"Perkara ini bukan saja bergantung kepada KKM dan kerajaan, tetapi juga perlukan kerjasama awam kerana tanpa ia, pengurangan kes baharu tidak mungkin dapat dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham ditanya kemungkinan persekolahan boleh dibuka berikutan trend penurunan kes selain Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menunggu lampu hijau KKM untuk mengeluarkan sebarang arahan baharu.

"Persoalannya sekarang ialah bilakah waktu sesuai bagi kerajaan menggubal sebarang mekanisme perintah kawalan baharu dan memberikan kelonggaran kepada sektor lain untuk beroperasi.

"Penekanan kini terarah kepada impak kes musim perayaan sama ada kadar kes baharu seperti ini dapat dikekalkan dua atau satu digit menjelang 9 Jun.

"Berdasarkan perangkaan semasa, penularan jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan semakin menyusut, sekali gus memberikan petanda baik kadar pematuhan SOP oleh masyarakat," katanya.

Menurutnya, tempoh masa ini adalah sangat penting dan pihaknya sangat berhati-hati sebelum membuat sebarang perubahan dalam polisi sedia ada.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 28, 2020 @ 8:53pm
    d