mutakhir

Kegiatan jual barang tiruan lumpuh

Oleh Mohd Amin Jalil

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) dan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan bagi menangani wabak Covid-19 membawa hikmah tersendiri apabila kegiatan menyeludup atau menjual barangan tiruan oleh pihak tertentu berkurangan.

Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, berdasarkan rekod aduan dan hasil operasi oleh bahagian penguat kuasa kementerian itu, mencatatkan hanya 11 kes aktiviti barangan tiruan pada tempoh PKP fasa satu dan dua.

Beliau berkata, manakala bagi tempoh PKPB pula hanya membabitkan 12 kes, yang kesemuanya melalui aktiviti atas talian.

"Kegiatan menyeludup atau menjual barangan tiruan ini menunjukkan penurunan yang sangat ketara berbanding isu barangan keperluan harian terutama membabitkan makanan.

"Malah aduan berhubung kegiatan barangan tiruan diterima daripada orang ramai juga amat berkurangan.

"Lazimnya barangan tiruan ini membabitkan pakaian, kasut dan barangan kulit," katanya selepas melakukan lawatan ke Pasar Besar Seremban, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman dan Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan Ain Arjuna Aziz Zaman.

Hasnol berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kegiatan membabitkan perniagaan barangan tiruan ini kembali aktif apabila tamat tempoh PKPB ini nanti.

Beliau bagaimanapun berkata, bahagian penguat kuasa kementerian itu sentiasa berwaspada dan bersedia mengambil tindakan sewajar bagi membanteras kegiatan berkenaan.

"Pihak kita (penguat kuasa KPDNHEP) akan terus membuat pemantauan untuk memastikan kegiatan memasarkan produk tiruan ini disekat dan kita mengalu-alukan kerjasama orang ramai membuat aduan mengenai kegiatan berkenaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 29, 2020 @ 2:12pm
    d