mutakhir

i-kad ganti pengenalan diri pekerja warga asing

Oleh Murni Wan Omar dan Muhaamad Hafis Nawawi

TANGKAPAN terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah kerana mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jadi penahanan itu tidak ada kena mengena dengan pekerja asing yang mempunyai dokumen dan permit kerja di negara ini.

Menurutnya, mereka yang ditahan ini memang tidak memilki dokumen dan mengenai majikan menyimpan dokumen pekerja warga asing sepatutnya mereka tidak boleh pegang.

"Tetapi ramai majikan rasa tidak yakin kepada pekerjanya kerana takut mereka lari tetapi digantikan kad pekerja asing dipanggil i-kad iaitu kad penganti diri yang mana jika ditahan pihak berkuasa, polis atau imigresen, pekerja asing ini boleh menunjukkan i-kad itu.

"Jadi sudah tentu sahaja bukan dianggap sebagai Pati kerana ada i-kad tetapi ada juga majikan yang yakin kepada pekerjanya di mana sesetengahnya diberi dokumen perjalanan menunjukkan mereka berkerja dengan syarikat itu," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Mengulas mengenai bagaimana mengenal pasti warga asing atau Pati yang sudah membuat saringan, Ismail Sabri berkata, bila mereka selesai saringan akan terus dihantar ke depoh tahanan dan tidak perlu memakai apa-apa seperti gelang atau surat.

"Jika orang biasa kita akan keluarkan surat daripada doktor yang boleh tunjukkan negatif Covid-19 termasuk juga warga asing turut diberikan surat dari doktor.

"Surat doktor sudah memadai sebab itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mewajibkan memakai gelang kerana negatif sekali selepas ujian belum tentu negatif selama-lamanya," katanya.

Beliau berkata, soal Pati tidak perlu bimbang sebab selepas saringan mereka akan terus dihantar ke depoh tahanan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 29, 2020 @ 3:31pm
    d