mutakhir

Rumah ibadat bukan Islam perlu patuh SOP

Oleh Nur Izzati Mohamad

POLIS meminta pengurusan rumah ibadat bukan Islam di Pulau Pinang supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan apabila mula dibuka pada 10 Jun ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, pihak polis akan melakukan pemantauan ke rumah ibadat berkenaan sepanjang tempoh Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Berdasarkan pemantauan polis mendapati masjid-masjid di seluruh negeri (Pulau Pinang) yang dibenarkan mengadakan solat Jumaat dan solat berjemaah mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Oleh itu, kita mahu rumah ibadat bukan Islam juga dapat mematuhi SOP yang ditetapkan dalam mengekang penularan wabak Covid-19," katanya selepas mengadakan tinjauan solat Jumaat di Masjid Abdullah Fahim di Kepala Batas, hari ini.

Katanya, pegawai perhubungan polis di rumah ibadat itu juga akan melakukan pemeriksaan secara berkala dan memberi penerangan kepada pihak jawatankuasa.

Baru-baru ini, kerajaan bersetuju membenarkan 174 rumah ibadat bukan Islam dibuka di Zon Hijau sahaja mulai 10 Jun ini sepanjang tempoh PKPB dilaksanakan.

Namun, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik berkata, rumah ibadat itu perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, Sahabudin berkata, pemeriksaan di pusat membeli-belah, restoran, bank dan pasar mendapati orang ramai serta pemilik premis mematuhi syarat serta SOP ditetapkan.

Menurutnya, Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan memeriksa sebanyak 19,830 premis di Pulau Pinang sehingga semalam bagi memantau pematuhan SOP selain melakukan 18 sekatan jalan raya (SJR)

"Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, seramai 1.58 juta orang dan 1.5 juta kenderaan diperiksa manakala 6,485 kenderaan diarah berpatah balik kerana cuba merentas negeri," katanya.

Katanya, sepanjang PKP juga, seramai 1,939 individu ditahan di Pulau Pinang kerana ingkar dan sudah didakwa di mahkamah.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 29, 2020 @ 4:41pm
    d