mutakhir

Serik makan puding buih [METROTV]

Oleh Zaid Salim

"PUDING buih memang juadah kegemaran keluarga untuk berbuka puasa, namun kini kami serik makan kuih berkenaan," kata Wan Muhamad Hafizi Wan Pauzi, 35.

Wan Muhamad Hafizi adalah suami kepada Haslinda Abdullah, 35, mangsa keracunan puding buih dari Kampung Tok Badir, Banggol Katong, Bukit Payung, Marang.

Menurutnya, akibat memakan makanan itu, 16 ahli keluarganya mengalami keracunan dan tujuh daripada mereka terpaksa mendapat rawatan di hospital swasta, manakala yang lain merawat sendiri dengan memakan ubat yang dibeli daripada farmasi.

"Kami terpaksa berhabis hampir RM20,000 sepanjang mendapat rawatan kerana ada antara kami yang mengalami kesakitan yang teruk sehingga ada yang meracau kerana keadaan tubuh yang tidak selesa dan terlalu lemah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Muhamad Hafizi berkata, selain isteri, tiga anaknya berusia sembilan, enam dan satu tahun juga mengalami keadaan sama tetapi dua daripada mereka mengalami kesakitan biasa, manakala anak anak bongsu terpaksa dimasukkan ke hospital kerana cirit-birit dan muntah.

"Walaupun semuanya sudah dibenarkan keluar semalam, isteri dan adik (Nur Aqilah, 31) masih lagi muntah dan lemah badan," katanya dan meminta peniaga terbabit memohon maaf atas apa yang terjadi.

Kata Wan Muhamad Hafizi, puding berharga RM17 sebekas itu dipesan adik iparnya daripada penjual di Kampung Sungai Rengas, Kuala Terengganu, sebagai juadah berbuka puasa bersama keluarga di rumah ibu di Kampung Padang Midin, Marang, pada hari kedua terakhir Ramadan lalu.

Menurutnya, pada keesokannya, isteri mula mengalami muntah dan cirit birit berterusan dan cuba memakan ubat dari farmasi, namun keadaan tetap sama.

Malah, katanya, keadaan menjadi semakin teruk sebelum membawa dia dan anak bongsu yang juga mengalami keadaan sama ke hospital untuk mendapat rawatan pada Hari Raya pertama.

Katanya, adiknya, Aqilah yang juga bekas jururawat mengalami keadaan kritikal dan sering meracau kerana keadaan tubuh yang lemah dan tidak selesa.

"Saya bersyukur kerana keadaan isteri dan anak bongsu saya yang masih kecil semakin pulih dan dalam masa sama perasaan bimbang masih ada kerana isteri masih demam, manakala adik saya, Aqilah masih mengalami muntah dan tidak bermaya," katanya.

Berita berkaitan

Beraya di hospital angkara puding buih

Mangsa keracunan puding buih meningkat 74 orang

25 lagi mangsa keracunan puding buih buih meningkat 74 orang

Disiarkan pada: May 29, 2020 @ 8:51pm
d