mutakhir

Sektor latihan dan ujian memandu dibuka Isnin ini [METROTV]

Oleh Murni Wan Omar dan Raja Noraina Raja Rahim

KERAJAAN bersetuju semua pusat sektor latihan dan ujian memandu seluruh negara dibuka bermula Isnin ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri hari ini membuat keputusan untuk membenarkan pusat berkenaan beroperasi semula.

"Sebelum ini, kita mendapat rayuan dan hari ini kita buat keputusan membenarkan institut latihan dan ujian memandu serta proses perlesenan memandu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) beroperasi mulai 1 Jun.

"Waktu operasi bermula dari jam 8 pagi hingga 4 petang sahaja," katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, semua pusat sektor latihan dan ujian memandu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan JPJ selaras ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, antara SOP yang perlu dipatuhi adalah pemeriksaan suhu, nyahkuman di luar pejabat dan kenderaan setiap kali sebelum serta selepas digunakan selain memastikan penjarakan sosial.

Tambah beliau, tenaga pengajar dan pelatih juga diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang proses pembelajaran itu berlangsung.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 30, 2020 @ 3:47pm
    d