mutakhir

Tindakan tegas restoran langgar PKPB [METROTV]

Oleh Shamran Sarahan

TINDAKAN tegas akan diambil terhadap pengusaha restoran yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengusaha atau pemilik restoran boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000 jika didapati bersalah melanggar SOP berkenaan.

"Kelonggaran telah diberikan (pembukaan semula premis makanan) dan kita mengharapkan pemerkasaan komuniti, pekedai dan pengusaha restoran.

"Apabila kita menjalankan rondaan memang ada (melanggar SOP) jadi kita akan ambil tindakan sama ada memberi amaran atau tindakan mengikut Akta 342," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan ada pengusaha restoran yang tidak melaksanakan penjarakan sosial dan membenarkan lebih empat pelanggan berada di satu meja.

Dr Noor Hisham berkata, pengusaha restoran perlu mematuhi SOP yang menggariskan penjarakan sosial di kedai makan.

Selain itu, katanya, orang ramai juga diminta mematuhi garis panduan itu ketika makan di restoran.

"Kita bukan hanya nak buat penguatkuasaan tetapi kalau boleh kita perlukan kerjasama rakyat untuk patuh kepada SOP kerana ini penting supaya kita dapat putuskan rantaian Covid-19 di Malaysia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 30, 2020 @ 7:31pm
    d