mutakhir

Padah berzumba, 15 wanita dikompaun

Oleh Nor Farhani Che Ad

LIMA belas wanita yang melakukan aktiviti zumba dikompaun selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sungai Petani, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, wanita berusia 25 sehingga 50 tahun itu didapati melakukan aktiviti itu ketika polis membuat pemeriksaan ke atas sebuah premis di Taman Pekan Rabu, 6.30 petang.

"Pemeriksaan ke atas premis terbabit dilakukan sepasukan polis ketika membuat tugas rondaan cegah jenayah dan penguatkuasaan pemantauan PKPB.

"Kesemua mereka gagal memberi penjelasan yang munasabah terbabit atau menyertai dalam perhimpunan aktiviti sosial," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adzli berkata, berikutan itu, mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kesemua wanita terbabit mengaku berada di dalam premis berkenaan dan melakukan aktiviti zumba.

"Mereka diterangkan kesalahan yang dilakukan dan dikeluarkan kompaun setiap seorang," katanya.

Katanya, kesalahan disiasat mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 30, 2020 @ 11:58pm
    d