mutakhir

Pasar Satok tak meriah dulu

Oleh Mahaizura Abd Malik

PENIAGA atau pengguna kini semakin dapat menyesuaikan diri dalam kehidupan normal baharu apabila mampu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan kerajaan bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Pemerhatian itu disaksikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini apabila berpeluang ke Pasar Satok yang terkenal sebagai kawasan perniagaan tumpuan rakyat tempatan dan pelancong di Kuching.

Menurutnya, keadaan pasar itu tidak lagi sesak dan semeriah seperti biasa berikutan aktiviti perniagaan baru bermula ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.

"Sambil membeli barang dapur, saya juga dapat melihat operasi di pasar itu yang sebelum PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu begitu meriah dengan aktiviti perniagaan dan jika tidak kerana Covid-19 pastinya sesak dengan orang ramai.

"Saya diminta beratur yang agak panjang kira-kira 15 minit baru boleh masuk ke dalam pasar tetapi tiada pengunjung yang merungut kerana mereka faham situasi ketika ini," katanya yang berkongsi pengalaman itu menerusi petikan di akaun Facebook miliknya hari ini.

Ahli Parlimen Santubong itu berkata, pengunjung dan peniaga juga dilihat mematuhi SOP ditetapkan dengan dipantau Dewan Bandaraya Kuching (DBKU) yang dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

"Keadaan teratur dengan orang ramai mematuhi SOP termasuk memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan sosial. Saya puji sikap berdisiplin ini.

"Kawalan anggota Rela dan pihak DBKU juga amat baik dengan memeriksa suhu badan sambil menulis nama," katanya.

Sementara itu, katanya, semua peniaga ikan dan daging di pasar itu juga dilihat tidak mengambil kesempatan menaikkan harga apabila mematuhi harga ditetapkan kerajaan.

"Ikan terubuk masin diberi diskaun hingga 25 peratus, manakala bekalan ikan, ketam, udang berkurangan daripada biasa nampaknya.

"Saya harap aktiviti Pasar Satok akan kembali meriah seperti dulu terutama bagi memberi ruang kepada usahawan desa memasarkan produk mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 31, 2020 @ 2:39pm
    d