mutakhir

Bincang benar bujang rentas negeri [METROTV]

Oleh Hayati Ibrahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

KERAJAAN akan berbincang sama ada memberi kelonggaran atau tidak kepada golongan bujang yang rindukan keluarga untuk merentas negeri bagi pulang ke kampung.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau bersimpati dengan golongan bujang tambahan dirinya pernah melalui zaman itu di mana setiap minggu dahulu jika boleh ingin pulang berjumpa ibu.

Menurutnya, kerajaan akan membincangkan perkara itu kerana memahami perasaan golongan bujang yang rindu kepada keluarga di kampung.

"Beri masa kepada kita untuk dibincangkan kerana kita tidak akan tutup pintu untuk selama-lamanya.

"Begitu juga kepada pasangan suami isteri yang berjauhan walaupun dibenarkan untuk merentas negeri ia tidak bermakna kebenaran automatik sebaliknya tetap perlu mendapatkan kebenaran daripada polis," katanya ketika sidang media hariannya di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian susulan permohonan daripada golongan bujang yang meminta kebenaran merentas negeri pulang ke kampung.

Ismail Sabri berkata, undang-undangnya rentas negeri masih tidak dibenarkan kecuali jika ada ahli keluarga sakit teruk, kematian, bekerja dan pasangan yang terpisah.

"Kita benarkan mereka merentas negeri tetapi bersyarat bukan automatik kerana kita tidak tahu betulkah mereka ini pasangan suami isteri berjauhan dan sebab itu mesti memohon dengan polis untuk mendapat kebenaran.

"Mengenai kapasiti penumpang di dalam kereta membabitkan kerja pula sama ada mereka perlu menyertakan satu surat atau masing-masing perlu menyediakan surat juga untuk tujuan rentas negeri bergantung kepada keputusan polis," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 31, 2020 @ 3:44pm
    d