mutakhir

Ditahan melacur ketika PKPB

Oleh Omar Ahmad

PADAH melakukan aktiviti pelacuran, seramai 15 individu termasuk 10 perempuan warga asing ditahan dan dikompaun dalam Ops Noda di Jalan Medan Nusa Perintis 7, Taman Nusa Perintis, Iskandar Puteri, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki tempatan, sembilan wanita warga Vietnam dan seorang warga Thailand.

Beliau berkata, serbuan dilakukan pada 2 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

"Semua mereka yang berusia antara 21 hingga 49 tahun itu ditahan bersama pelbagai barangan digunakan dalam aktiviti pelacuran.

"Mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan direman selama 14 hari mulai hari ini sehingga 13 Jun untuk siasatan lanjut.

"Semua tangkapan dikenakan kompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sehubungan itu, orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan jenayah sepanjang tempoh PKPB kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 31, 2020 @ 10:40pm
    d