mutakhir

'Tak perlu bimbang, bekalan makanan cukup' [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

BEKALAN barangan keperluan harian di seluruh negara masih mencukupi sepanjang musim perayaan, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri.

Beliau berkata, kerajaan berpuas hati dengan bekalan makanan yang masih mampu menampung keperluan harian rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurutnya, pemantauan penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga terus dijalankan agar peniaga, peruncit, pemborong dan pengeluar mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan.

"Sehingga semalam, KPDNHEP menjalankan pemeriksaan di 775 premis perniagaan seluruh negara bagi memantau bekalan keperluan harian.

"Secara keseluruhan, barangan keperluan harian masih mudah diperoleh pengguna dan rakyat tidak perlu bimbang kerana bekalan masih mencukupi," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, tiada perbincangan lanjut diadakan kerajaan dengan pihak bank untuk mengenakan semula caj pengeluaran RM1 bagi pengeluaran di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Malaysian Electronic Payment System Sdn Bhd (MEPS) yang dikecualikan sebelum ini.

Katanya, rakyat masih boleh terus menikmati faedah pembekuan caj RM1 itu sehingga pengumuman lanjut dibuat kerajaan.

"Setakat hari ini, tiada perbincangan bersama bank untuk caj RM1, jadi pengecualian dikekalkan dan tidak ada perubahan," katanya.

Sebelum ini, caj RM1 dikecualikan bagi mengelak orang ramai berpusu-pusu membuat pengeluaran di kaunter bank.

Semalam, kerajaan mengumumkan waktu operasi mesin ATM yang dihadkan dari 8 pagi hingga 8 malam susulan penularan wabak Covid-19 dilanjutkan kepada 24 jam mulai hari ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 1, 2020 @ 3:05pm
    d