mutakhir

64 ditahan di parti liar sejak PKP

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SERAMAI 64 individu yang menyertai parti liar ditahan dalam lima serbuan dilakukan polis Kuala Lumpur sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, semua individu yang ditahan berusia antara 14 hingga 64 tahun.

"Serbuan dilakukan di tiga lokasi dalam daerah Brickfields dan masing-masing satu lokasi di Dang Wangi serta Wangsa Maju.

"Mereka yang ditahan itu terdiri daripada 40 lelaki dan 24 wanita. Hasil ujian saringan dijalankan mendapati 40 orang positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine, thc dan benzo," katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Mazlan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a).

Selain itu, beliau berkata, kesemua yang ditahan turut dikenakan kompaun RM1,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana melanggar arahan PKP.

"Pihak polis memandang serius gejala parti liar dan memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak menjalankan atau terbabit aktiviti berkenaan.

"Semua pihak termasuk pengurusan hotel, kondominium dan apartment servis diminta memberi kerjasama dalam menyalurkan maklumat kepada polis berkaitan aktiviti berkenaan," katanya.

Katanya, pemilik kediaman boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara selama tempoh lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat mengenai aktiviti tidak bermoral itu dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 12:35am
    d