mutakhir

Sabah benar penambahan jemaah

Oleh Rafiqah Dahali

MAJLIS Fatwa Sabah memutuskan untuk menambah jumlah ahli jemaah yang melaksanakan solat Jumaat dan solat lima waktu di masjid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ( PKPB ) ini.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata, penambahan jumlah ahli jemaah terbabit diambil dengan beberapa ketetapan tertentu.

"Bilangan ahli jemaah solat Jumaat yang dibenarkan di masjid terpilih dipertingkatkan jumlah menjadi 40 orang, manakala bilangan ahli jemaah solat lima waktu ditambah kepada 12 orang mulai 5 Jun

ini.

"Bilangan ahli jemaah solat jumaat ini termasuk ahli jawatankuasa masjid, imam dan khatib, manakala kebenaran solat berjemaah lima waktu terdiri daripada jawatankuasa dan petugas masjid atau surau serta orang awam.

"Selain itu, pihak berwajib dan ahli jawatankuasa masjid hendaklah menentukan ahli jumaat yang ditetapkan terlebih dahulu bagi mengelakkan kekeliruan," katanya di Kota Kinabalu.

Dalam kenyataan media terbabit, beliau turut memperincikan langkah keselamatan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM ).

"Ahli jemaah yang berusia lebih 70 tahun tidak dibenarkan untuk hadir solat Jumaat, setiap jemaah hendaklah membuat pengesanan suhu badan, dan mengamalkan sanitasi tangan serta merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran.

"Mereka yang mempunyai gejala sakit seperti demam, batuk dan sebagainya tidak dibenarkan hadir dan perlu mengamalkan penjarakan sosial termasuk semasa solat tidak kurang satu

meter, mengelakkan bersalaman dan memakai pelitup muka termasuk ketika menunaikan solat.

"Orang awam masih belum dibenarkan hadir ke masjid dan surau melainkan orang yang sudah ditentukan yang diberi kebenaran khas untuk melaksanakan solat Jumaat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 3, 2020 @ 8:33am
    d