mutakhir

Penduduk Taman Langat Murni, Langat Utama wajib jalani saringan Covid-19 [METROTV]

Oleh Hayati Ibrahim dan Suraya Roslan

SEMUA penduduk Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama Bukit Changgang, di Kuala Langat diwajibkan menjalani saringan Covid-19 susulan kawasan itu diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Secara Pentadbiran (Semco) mulai malam tadi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan berkenaan turut dipagar kawat duri, bagaimanapun penduduk masih boleh keluar masuk selepas pemeriksaan kesihatan dilakukan.

"Saringan Covid-19 wajib dilakukan kepada semua penduduk, walaupun PKP secara pentadbiran namun, saringan tetap dibuat secara 100 peratus," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, keadaan itu di kawasan itu juga berbeza dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti yang pernah dilakukan di Selangor Mansion, Pasar Borong Selayang dan beberapa lokasi lain.

"Bagi PKPD kita memagar kawasan itu dengan kawat berduri dan tidak membenarkan sebarang pergerakan keluar masuk dari kawasan berkenaan.

"Di kawasan PKP secara pentadbiran, ia turut dipagar dengan kawat duri tetapi penduduk dibenarkan keluar masuk untuk membeli makanan dan sebagainya.

"Tetapi pemeriksaan kesihatan dilakukan ketika mereka keluar masuk," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 3, 2020 @ 2:50pm
    d