mutakhir

PKPB: Tunggu pengumuman dulu...[METROTV]

Oleh Hayati Ibrahim dan Suraya Roslan

"TAK sambung kita umum, sambung pun kita umum, jadi tunggulah pengumuman dibuat nanti."

Demikian penjelasan ringkas Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disambung atau sebaliknya pada 9 Jun ini.

Ismail Sabri berkata, perkara itu belum diputuskan kerajaan sama ada PKPB perlu disambung atau sebaliknya.

"Setakat hari ini (semalam), kita belum tahu (buat keputusan) lagi kerana belum ada perbincangan khusus untuk sambung (PKPB) atau tidak," katanya pada sidang media harian, semalam.

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan pelaksanaan PKPB bagi menggantikan PKP yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu bagi membendung penularan Covid-19 di negara ini.

PKPB yang sebelum ini dilaksanakan dari 4 Mei hingga 12 Mei membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi semula, tertakluk kepada SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagaimanapun, PKPB dilanjutkan selama empat minggu sehingga 9 Jun ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: June 3, 2020 @ 3:56pm
    d