mutakhir

Padan muka peniaga 'cekik darah' [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEBANYAK 1,972 premis di seluruh Selangor diperiksa sepanjang pemantauan harga sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri bermula 20 Mei hingga hari ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, terdapat dua kes diambil tindakan atas kesalahan tiada tanda harga sepanjang tempoh itu.

"Sebelum ini, kerajaan menetapkan kawalan harga bagi 27 barang terpilih sempena musim perayaan ini bermula 20 Mei lalu hingga hari ini. Sepanjang tempoh itu sebanyak 1,972 premis membabitkan pasar basah serta pasar raya diperiksa.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, dua peniaga dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM3,000 setiap seorang atas kesalahan tiada tanda harga mengikut Peraturan 3(1) Perintah Kawalan Harga 1993," katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan di Pasar Kajang, Selangor, hari ini.

Muhamad Zikril berkata, kebanyakan peniaga patuh dengan arahan dikeluarkan dengan mengikuti harga ditetapkan.

"Berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan dilakukan sepanjang tempoh itu, dianggarkan 90 peratus peniaga di negeri ini mematuhi arahan ditetapkan.

"Bagaimanapun, masih ada segelintir peniaga yang masih berdegil dengan mengenakan harga 'cekik darah' sepanjang musim perayaan ini dan tindakan akan dikenakan terhadap mereka," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima sebanyak 266 aduan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu sehingga semalam.

"Daripada jumlah itu, tujuh aduan diterima ketika tempoh SHMMP Hari Raya Aidilfitri. Kebanyakan aduan yang diterima adalah dari kawasan penduduk padat iaitu Shah Alam, Petaling Jaya dan Shah Alam.

"Kami berjaya menyelesaikan 90 peratus aduan diterima, manakala selebihnya masih dalam tindakan kerana memerlukan maklumat tambahan daripada peniaga.

"Selain itu, kami turut menerima 1,399 panggilan sepanjang tempoh PKP sehingga semalam yang mahu bertanyakan pelbagai soalan berkaitan kepenggunaan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 81 kes membabitkan RM52,400 kompaun dikenakan terhadap peniaga di kawasan Kajang bagi tempoh 1 Januari lalu hingga semalam.

"Bagi tempoh PKP sejak 18 Mac lalu hingga semalam, sebanyak 2,543 premis diperiksa dengan RM31,900 kompaun dikenakan terhadap peniaga.

"Antara kesalahan yang dikesan dilakukan peniaga berkenaan adalah tiada tanda harga, harga mengelirukan, harga melebihi kawalan, alat penimbang tidak tepat serta penjualan pelitup hidung dan mulut melebihi harga maksimum," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: June 3, 2020 @ 4:58pm
    d