mutakhir

Sultan Johor berkuasa bubar DUN

Oleh Mohamed Farid Noh

PEGUAM bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya, menjelaskan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkuasa memansuhkan atau membubarkan Dewan Negeri, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Mohd Fared Mohd Khalid yang juga Exco Majlis Belia Negeri Johor itu berkata, Fasal 7 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 memang menyebut Sultan Johor yang dirujuk sebagai Raja 'pada menjalankan kewajipan-kewajipannya, hendaklah mengikut nasihat'.

Namun katanya, (Fasal 7(2)(2) undang-undang berkenaan turut menyatakan bahawa Sultan Johor (disebut Raja) sekalipun 'mengikut nasihat', berkuasa untuk memutuskan mengikut tadbirnya sendiri bagi menangguhkan persetujuannya terhadap permohonan meminta dimansuhkan Dewan Negeri.

"Jika diperhalusi semula, dalam keadaan Menteri Besar atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri boleh memohon kepada Sultan Johor untuk Dewan Negeri dimansuhkan (atau dibubarkan), tetapi Sultan Johor boleh mengikut tadbirnya sendiri menangguhkan persetujuannya terhadap permohonan meminta dimansuhkan Dewan Negeri, maka ia boleh dizahirkan sebagai Sultan Johor mempunyai kuasa untuk memansuhkan atau tidak memansuhkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengikut budi bicara baginda.

"Ini diperkukuhkan lagi seperti mana Fasal 23(2) Bahagian Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 iaitu Raja boleh menangguhkan atau memansuhkan Dewan Negeri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang juga seorang peguam pula mempunyai pandangan berbeza apabila dilaporkan berkata, Sultan Johor tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memansuhkan DUN.

Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor dilaporkan berkata, memang mengikut Perkara 23(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor ada disebut bahawa seseorang sultan boleh membubarkan DUN Johor, bagaimanapun ia tidaklah bersifat muktamad dan tidaklah boleh berdiri sendiri.

Sementara itu, Mohd Fared berkata, Johor tidak pernah menafikan prinsip Raja Berperlembagaan di Malaysia bahkan itulah keunikannya.

Katanya, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 ada sifirnya untuk menyelesaikan sebarang kemelut dan pertikaian dalam Johor.

"Ia bukan monarki mutlak sebab ia sudah tidak lagi wujud. Namun susunan undang-undangnya mengekalkan kuasa Raja untuk digunakan secara bijaksana apabila tiba masanya.

"Mereka yang menidakkan kuasa Sultan Johor juga perlu maklum siapakah kerajaan semasa Johor waktu ini. Suasana kondusif dengan kerajaan semasa Johor waktu ini sudah pasti membolehkan kuasa Sultan Johor diperlihatkan dengan lebih tertib dan meyakinkan," katanya.

Berita berkaitan

Sultan Johor kecewa

PH Johor junjung amaran Sultan Johor

'Kalau ada lagi perebutan kuasa, saya bubar DUN' - Sultan Johor

Disiarkan pada: June 4, 2020 @ 10:19am
d