mutakhir

Bukan masa sesuai bubar DUN Johor

Oleh Mohamed Farid Noh

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menzahirkan taat setia tidak berbelah bahagi terhadap titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar agar tiada perebutan kuasa jika enggan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Johor, Mazlan Bujang berkata, beliau tidak melihat titah Sultan Ibrahim sebagai amaran, sebaliknya sifat kasih baginda yang mahu keamanan dan keharmonian negeri terpelihara.

Beliau yang juga Exco Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor memberitahu, parti itu menjunjung kasih dan akan menurut titah berkenaan.

"Diakui terdapat pandangan berbeza dalam Bersatu Johor tapi bagi saya, ia amalan demokrasi yang mana setiap pihak mempunyai pendapat dan pendirian mereka tersendiri.

"Tetapi akhirnya persefahaman dan permuafakatan dapat dicapai dan kita (wakil rakyat) perlu mematuhi titah Sultan Johor, bekerjasama serta berkhidmat membantu rakyat terutama ketika pandemik Covid-19.

"Bersatu Johor selagi boleh tidak mahu DUN dibubarkan kerana keadaan dan masa sekarang yang tidak sesuai," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Penyampaian Hadiah Hari Guru Negeri Johor 2020 di Johor Bahru, hari ini.

Mazlan berkata, kerajaan negeri ketika ini sedang berusaha memulihkan ekonomi dan membantu rakyat mendepani implikasi Covid-19.

Beliau juga menegaskan bahawa tiada mana-mana 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu yang akan melompat parti dan menyangkal dakwaan dia sebagai 'kepala' yang merancang tindakan itu.

"Pelbagai dakwaan dan andaian tersebar, namun tidak semestinya ia sahih. Saya sendiri didakwa menjadi 'kepala' kepada tindakan Adun yang mahu melompat ke blok pembangkang sedangkan hakikatnya tidak benar.

"Saya turut dikatakan menuntut RM2 juta dan 50 hektar tanah jika tidak mahu berpaling tadah. Saya bersumpah bukan orang yang dituduh sebagai 'kepala' mahupun menuntut permintaan tidak masuk akal sebegitu.

"Sebagai orang politik, saya memahami hakikat bukan semua akan sokong dan suka kita, jadi saya menganggap khabar angin yang mendakwa saya dengan pelbagai tuduhan itu sebagai asam garam politik sahaja, " katanya.

Berita berkaitan

Sultan Johor kecewa

PH Johor junjung amaran Sultan Johor

'Kalau ada lagi perebutan kuasa, saya bubar DUN' - Sultan Johor

Disiarkan pada: June 4, 2020 @ 2:20pm
d