mutakhir

Kawal pergerakan 14 hari sebelum buka Taska

Oleh Mohd Roji Kawi

SARAWAK mewajibkan setiap pengusaha dan kakitangan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) mengisytiharkan tahap kesihatan dan mengawal pergerakan 14 hari sebelum Taska dibuka semula, mulai 9 Jun.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanaknya Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, syarat itu terkandung dalam prosedur operasi standard (SOP) negeri yang diperketatkan.

Katanya, semua pengusaha dan pekerja perlu dipastikan sihat untuk bekerja bagi mengelak penularan Covid-19.

"Keseluruhan SOP tidaklah jauh beza dengan yang ditetapkan kerajaan Persekutuan, cuma ada sedikit perubahan yang dibuat mengikut kesesuaian dan keadaan di negeri ini.

"Sebab itu Sarawak lewat sedikit membuka semula Taska berbanding di Semenanjung, malah ia sudah dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) untuk diteliti dan mereka meluluskannya," katanya pada sidang media di Wisma Kebajikan di Kuching, hari ini.

Fatimah berkata, selain syarat utama itu, semua Taska perlu menjalani sanitasi dengan proses nyah kuman dibuat di seluruh premis termasuk kawasan luar.

"Kanak-kanak juga mesti diperiksa suhu mereka semasa ketibaan dan mencuci atau membersihkan tangan mereka.

"Ibu bapa akan diminta untuk membawa anak pulang, jika suhunya melebihi 37.5 Celsius atau jika mereka menunjukkan gejala seperti batuk,

"Manakala meja dan kerusi mesti diatur untuk memastikan jarak sosial dan tidak ada aktiviti berkumpulan dilakukan," katanya.

Setakat ini, katanya, maklum balas yang diterima daripada pengusaha Taska menunjukkan mereka patuh dan sedang melakukan persiapan untuk beroperasi.

Fatimah juga memberitahu garis panduan itu boleh dimuat turun daripada laman web kementerian di kwkpk.sarawak.gov.my.

Untuk rekod, 236 Taska berdaftar di Sarawak dengan jumlah keseluruhan kanak-kanak berdaftar 3,707 orang.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 4, 2020 @ 3:58pm
    d