mutakhir

Sarawak benar kedai, salun gunting rambut buka

Oleh Mohd Roji Kawi

KEDAI gunting dan salun rambut di Sarawak dibenarkan beroperasi mulai Selasa ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang bermesyuarat hari ini memberi kebenaran itu, namun hanya untuk menggunting rambut sahaja.

"Prosedur operasi standard (SOP) kedai gunting rambut akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

"Namun, apa yang pasti ialah pemilik kedai haruslah meminimumkan jarak, tukang gunting harus mengutamakan kesihatan dan memakai pelitup muka serta elak batuk atau bersin," katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN berkata, mesyuarat turut memutuskan untuk membenarkan beberapa taman perlindungan semula jadi negeri dibuka kepada orang ramai bermula Isnin.

Taman itu, Samajaya di Kuching; Bukit Lima di Sibu; Bukit Sembiling di Limbang dan Piasau di Miri.

Sementara itu, beliau berkata, Sarawak sedang meneliti untuk membenarkan pergerakan antara daerah berikutan situasi Covid-19 yang semakin reda.

"Hari ini, Sarawak mencatatkan sifar kes positif baharu u untuk hari kelapan berturut-turut dan ia bermakna jika keadaan itu berterusan selama 14 hari, seluruh Sarawak akan dikategorikan sebagai zon hijau.

"Apabila ia berlaku, kita akan mempertimbangkan sama ada meneruskan kawalan pergerakan merentas daerah dan hari ini perkara itu dibincangkan dengan beberapa pilihan dirancang, antaranya mungkin mengehadkan kawalan pergerakan atau kita membuka semua laluan di Sarawak," katanya.

Bagaimanapun katanya, keputusan itu turut bergantung kepada situasi semasa pandemik Covid-19 di Sabah dan Semenanjung Malaysia.

"Kita jangan lupa, sebahagian besar jangkitan di Sarawak adalah kes import dan kita harus sentiasa berhati-hati serta teliti dalam membuat keputusan berhubung pergerakan merentas bahagian dan daerah.

"Sebab itu juga, sehingga kini kita masih melaksanakan kuarantin terhadap individu yang datang ke Sarawak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 4, 2020 @ 6:02pm
    d