mutakhir

'Kami rehat dulu' - isteri Mohamed Zaili [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

"SAYA terpaksa menghentikan operasi perniagaan selama dua bulan bagi membolehkan kami sekeluarga berehat untuk menghilangkan kesedihan selepas kehilangan arwah," kata Zahlawatti Dahlan, isteri kepada Mohamed Zaili Mohamed, 44.

Mohamed Zaili yang juga penghantar makanan meninggal dunia selepas motosikal dinaikinya dilanggar pemandu mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar, Kuala Lumpur pada 1 Jun lalu.

Zahlawatti berkata, dia dan empat anaknya masih dalam proses mengadaptasi kehidupan baharu mereka tanpa kehadiran suaminya.

"Jujur saya katakan, kami sekeluarga masih sedih dengan kehilangan suami. Dia bagai rakan yang banyak memberikan sokongan terutama dalam perniagaan kami.

"Kehilangan dia amat dirasai hingga saya membuat keputusan untuk berehat selama dua bulan bagi membolehkan kami sekeluarga dapat menghilangkan kesedihan atas pemergiannya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Zahlawatti menerima sumbangan Wakalah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pada masa sama, dia meluahkan rasa kesyukuran apabila banyak agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) tampil menghulurkan bantuan kepada mereka sekeluarga.

"Alhamdulillah, sehingga ke hari ini banyak agensi dan NGO yang prihatin terhadap nasib menimpa kami tampil memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk.

"Dengan sumbangan yang diterima ini, saya akan menggunakannya sebagai simpanan anak-anak selain membantu keluarga arwah serta mengembangkan perniagaan kami," katanya.

Ketika ditanya mengenai status laporan polis dibuatnya terhadap pemandu mabuk yang melanggar suaminya, Zahlawatti berkata, pihaknya masih menunggu perkembangan baharu proses terbabit daripada peguam yang dilantik.

"Saya dimaklumkan ia masih dalam proses dan saya serahkan sepenuhnya kepada peguam untuk menyelesaikan perkara itu.

"Tindakan membuat laporan polis adalah sebagai jaminan untuk diri sendiri dan orang lain supaya ada pembelaan terhadap mereka yang mengalami insiden sama.

"Saya amat menyokong cadangan daripada NGO yang mahu kerajaan meningkatkan hukuman kepada pesalah bagi kejadian seumpama itu," katanya.

Terdahulu, seorang pekerja kedai aksesori dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol dalam kejadian terbabit pada 1 Jun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Khor Yong Zhang, 21, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Puteri Nursheila Rahimi.

Berita berkaitan

Mohon suspek langgar suami dihukum mati [METROTV]

Lesen pemandu langgar Zaili digantung sehingga kes selesai

'Emosi emak tak stabil tengok video kemalangan' - Aishah Azman

Tak mengaku salah memandu dalam keadaan mabuk [METROTV]

'Saya hilang arah, tempat bergantung' - isteri Mohamed Zaili [METROTV]

Seret motosikal 2km

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 12:58pm
d