mutakhir

Ustaz Imran cari suami isteri bantu remaja lemas

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

"ALHAMDULILLAH, ini rezeki tidak dijangka dan terima kasih untuk semua penghargaan yang diberikan, cuma saya agak terkilan kerana masih belum dapat bertemu pasangan suami isteri yang turut membantu pada hari kejadian."

Demikian kata Muhammad Nor Imran Maula Abd Jalil, 31, apabila menerima penghargaan kerajaan negeri selepas menyelamatkan empat remaja perempuan yang hampir lemas dalam tali air di Kilometer 28 Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap, Kampung Gajah dekat Bota pada 27 Mei lalu.

Sebagai mengenang jasa dan pengorbanan guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) terbabit, kerajaan Perak menyampaikan sumbangan RM7,000 kepadanya selain turut menerima Skim Usahawan Tani Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak seluas satu hektar.

Mohamad Nor Imran berkata, dia berhasrat mahu bertemu dengan pasangan suami isteri terbabit kerana kejadian itu dibantu mereka.

"Saya sudah cuba mencari mereka tetapi gagal. Sejujurnya saya susah hati hingga tak lena tidur memikirkan bagaimana mahu mengesan mereka kerana pasangan itu juga wajar diberi penghargaan.

"Jika mereka terbaca berita ini tolong hubungi saya. Saya masih ingat wajah pasangan itu dan mereka menaiki Proton Wira Aeroback berwarna kelabu," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan berkenaan di Masjid Aziziah, Hutan Melintang, hari ini.

Muhammad Nor Imran berkata, dia terharu dan tidak menyangka akan menerima penghargaan dan sumbangan daripada kerajaan negeri yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan negeri, Mohd Akmal Kamarudin.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri terutama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan sumbangan ini. Saya sangat menghargainya dan terharu," katanya.

Menurutnya, dia turut berhubung dengan dua keluarga mangsa bagi mendapatkan perkembangan lanjut mengenai mereka.

"Difahamkan, mangsa yang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan sudah dibenarkan keluar dua hari lalu. Saya bersyukur dia mengharungi saat getir selepas paru-parunya dimasuki air," katanya.

Sementara itu, Mohd Akmal berkata, apa yang diberikan itu diberikan sebagai penghargaan atas keberanian dan sifat terpuji Muhamad Nor Imran yang sanggup menggadai nyawa demi menyelamatkan mangsa.

"Tindakan beliau yang sanggup menyelamatkan semua mangsa biarpun berdepan dengan arus kuat tanpa memikirkan nyawa sendiri wajar dihargai," katanya.

Dalam kejadian pada 12.05 tengah hari itu, empat remaja terbabit dihanyutkan arus selepas kereta dinaiki bersama seorang lagi rakan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam tali air berkenaan.

Bagaimanapun, seorang mangsa berjaya menyelamatkan diri dan meminta bantuan daripada Muhammad Nor Imran.

Berita berkaitan

Pengorbanan Ustaz sukar dibalas...

Guru KAFA terima penghargaan [METROTV]

Gadai nyawa selamat empat remaja hampir lemas

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 6:34pm
d