mutakhir

Dugaan peniaga batik

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

"PERNAH beberapa kali saya balik dengan tangan kosong kerana tiada pembeli yang datang," kata Hasnah Daud, 45, peniaga batik di Jertih Souq, Jertih.

Hasnah berkata, dia sudah berniaga di situ, 14 tahun lalu sejak awal pembukaan pasar itu kepada orang awam.

"Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedai memang tutup sepenuhnya dan saya juga tidak menjual secara dalam talian.

"Kedai kembali dibuka ketika kerajaan memberi sedikit kelonggaran kepada peniaga untuk beroperasi kembali dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya kepada wartawan ketika melakukan tinjauan di pasar berkenaan hari ini.

Hasnah berkata, selalunya seminggu sebelum menjelangnya Aidilfitri dia akan menambah serta memasukkan stok jualan baru kerana mempunyai permintaan tinggi.

"Tetapi tahun ini saya memilih menjual stok pakaian sedia ada kerana pembeli tidak ramai seperti kebiasaan.

"Saya juga turut mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan seperti menyediakan cecair pembasmi kuman kepada pelanggan yang datang.

"Kami berharap tempoh PKPB ini tamat Selasa ini supaya kegiatan perniagaan dapat beroperasi sepenuhnya seperti biasa," katanya.

Sementara itu seorang lagi peniaga, Rosmawati Husin, 57 berkata, dia amat terkesan dengan situasi sekarang kerana baru berniaga awal tahun lalu.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana operasi perniagaan tetap berjalan walaupun tempoh PKP dengan bantuan anaknya yang menggunakan medium laman sosial untuk mempromosikan perniagaan mereka.

"Sebelum ini kami berniaga secara kecil-kecilan dari rumah kemudian berpindah ke kedai dan bekalan barang diperoleh dari pembekal di Kuala Terengganu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 12:41pm
    d