mutakhir

PKPP di Kuala Langat 'diperketatkan', ada warga asing cuba lari

Oleh Samadi Ahmad

PERINTAH Kawalan Pergerakan Pentadbiran (PKPP) penguatkuasaan di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama, Bukit Changgang di Kuala Langat diperketatkan bermula hari ini selepas ada sekumpulan warga asing yang cuba melarikan diri dari kawasan itu semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, pasukan keselamatan yang mengadakan rondaan mengesan tindakan warga asing itu pada kira-kira 8 malam tadi yang cuba memotong kawat duri berhampiran paya di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, ketika pemeriksaan, warga asing berkenaan sempat melarikan diri semula ke kediaman mereka, namun tidak sempat mengambil semula peralatan untuk memotong kawad duri dan beg berisi pakaian.

Katanya, susulan kejadian itu, pihaknya menambah 50 lagi anggota keselamatan bagi membuat kawalan dengan jumlah keseluruhan 700 anggota ditugaskan di kawasan itu.

"Bermula hari ini, kami pihaknya turut mengadakan Operasi Ketuk Pintu Rumah bagi mengarahkan penduduk membuat ujian saringan Covid-19 selepas ada dalam kalangan penduduk enggan memberi kerjasama selepas diarahkan berbuat demikian.

"Setakat ini hampir 5,000 penduduk sudah membuat ujian saringan Covid-19 dan baki 4,000 lagi dijangka dapat diselesaikan sehingga hujung minggu ini," katanya ketika ditemui, hari ini.

Semalam, media melaporkan dua warga tempatan membabitkan wanita berusia 22 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun disahkan positif Covid-19 di kawasan berkenaan.

Mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) bagi mendapatkan rawatan lanjut bagi mengelak penularan wabak itu.

Seramai 19 warga asing daripada 20 yang disahkan positif Covid-19 pada 28 Mei lalu dan menerima rawatan di HSB sudah dibenarkan discaj dari hospital selepas didapati negatif wabak berkenaan.

Bagaimanapun, mereka akan menjalani ujian saringan Covid-19 semula selepas 13 menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.

Dalam pada itu, Azizan berkata, daripada 114 kontak rapat warga asing yang dikuarantin, 62 individu yang ditempatkan di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bangi sudah dibenarkan pulang ke kediaman mereka hari ini, manakala 52 individu lagi masih dikuarantin di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).

"Enam bas disediakan membabitkan kenderaan Polis Di Raja Malaysia dan Jabatan Bomba Malaysia digunakan bagi membawa warga asing berkenaan pulang ke kediaman mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 2:56pm
    d