mutakhir

Melaka perketat pilih pekerja asing

Oleh Amir Mamat

KERAJAAN Melaka akan memperketatkan kaedah pemilihan pekerja asing untuk bekerja di pasar awam, pasar borong serta sektor perniagaan lain di negeri itu.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, hanya mereka yang sihat serta bebas daripada penyakit berjangkit dibenarkan untuk terus bekerja di negeri ini, manakala pekerja asing berpenyakit akan dirujuk kepada Jabatan Kesihatan dan Jabatan Imigresen.

Beliau berkata, pelbagai faktor perlu diambil kira kerana golongan terbabit masih penting demi kelangsungan ekonomi di negeri itu.

Namun, katanya, pendekatan secara serius akan dibincangkan bersama Majlis Keselamatan Negeri (MKN) mengenai sektor mana yang perlu di beri keutamaan untuk keperluan menggunakan khidmat pekerja asing.

"Kita mesti berhati-hati (memilih), mereka yang mempunyai penyakit berjangkit akan hantar mereka pulang (melalui Jabatan Imigresen), manakala mereka yang masih ada di sini akan diteliti tahap kesihatan sebelum dibenarkan bekerja di sini.

"Kita masih memerlukan tenaga mereka sebagai buruh di negeri ini kerana dalam keadaan ekonomi sekarang, merekalah yang akan membantu sektor pembinaan dan perindustrian, begitu juga di pasar borong.

"Jadi kita mengambil pendekatan serius kajian terperinci sedang kita lakukan dan laksanakan," katanya ketika ditemui selepas melawat kanak-kanak istimewa, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, di Taman Ayer Molek, Melaka, hari ini.

Semalam, kerajaan Johor mengumumkan akan memastikan tiada lagi warga asing yang menjadi penjaja mahu pun diambil bekerja di pasar awam serta premis perniagaan milik PBT di negeri itu.

Semua 16 PBT di negeri berkenaan sudah diarahkan menyemak status peniaga sedia ada serta melakukan pemeriksaan premis di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja PBT negeri.

Sementara itu, Sulaiman berkata, kerajaan negeri juga sudah mengarahkan pekerja asing yang bekerja di pasar awam dan premis perniagaan milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka menjalani saringan kesihatan, selain dipantau rapi mengenai pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kes kluster import di negeri itu juga diyakini dapat dikurangkan apabila limitasi dibuat terhadap pekerja warga asing terbabit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 4:50pm
    d