mutakhir

TEKUN terima 25,140 permohonan CBRM

Oleh Norzamira Che Noh

SEJUMLAH 25,140 permohonan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro atau COVID Business Recovery - Micro (CBRM) diterima Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional sejak ia mula dilancarkan 8 April lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 19,806 permohonan sudah diluluskan membabitkan nilai peruntukkan RM153.77 juta.

"CBRM diwujudkan untuk membantu usahawan mikro yang terjejas perniagaan akibat Covid-19 dan sejumlah RM200 juta sudah diperuntukkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat Prihatin.

"Pembiayaan Skim CBRM akan disalurkan secara dua peringkat yang mana usahawan boleh membuat pilihan untuk menerima 20 peratus pembiayaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan baki 80 peratus selepas PKPB atau menerima pembiayaan 100 peratus selepas PKPB.

"Bagaimanapun, penyaluran baki 80 peratus pembiayaan CBRM dalam tempoh PKPB akan dibuat selepas Pejabat Cawangan selesai melakukan pengesahan perniagaan dan siasatan di premis usahawan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Pembiayaan Skim CBRM di Pejabat TEKUN Nasional Selangor di Shah Alam, hari ini.

Wan Junaidi berkata, penyaluran peruntukan itu juga tertakluk kepada sektor perniagaan yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKPB ini sahaja.

Dalam pada itu, beliau berkata, TEKUN Nasional juga mewujudkan Program keusahawanan dalam Gig ekonomi dengan menjadi rider kepada TEKUN Mobilepreneur yang menyediakan peluang syarikat seperti Grab Food, Food Panda, LalaMove, BungkusIT, Mat Despatch, Zepto Ekspress dan My Makan.

"Sejak dilancarkan pada 10 April, seramai 198 orang usahawan sudah memohon pembiayaan di bawah Program TEKUN Mobilepreneur membabitkan nilai peruntukkan RM369,000.

"Melalui kedua-dua skim ini usahawan tidak dikenakan sebarang caj," katanya.

Katanya, MEDAC berharap inisiatif ini akan dapat membantu meringankan beban usahawan mikro untuk memula dan memulihkan perniagaan yang terjejas akibat penularan wabak Covid 19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 5:04pm
    d