mutakhir

Malaysia belum bersedia keluar daripada PKP [METROTV]

Oleh Murni Wan Omar

BUAT masa ini Malaysia belum bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan strategi pelepasan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika penularan virus pandemik Covid-19 masih perlu dikawal.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebaliknya apabila lebih banyak sektor dibuka maka pemantauan dan pengawasan perlu terus dibuat menggunakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Beliau berkata, sekiranya ada wabak atau peningkatan kes di sesuatu lokaliti ataupun kumpulan sasar, PKP Diperketatkan atau PKP Kawalan Pentadbiran dilaksanakan.

"Sekarang kita membuka lebih banyak sektor bukan saja ekonomi malah sektor sosial, sukan dan pendidikan.

"Melihat unjuran model di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kita lihat PKP Bersyarat (PKPB) berkesan untuk mengawal penularan penyakit Covid-19.

"Kes menurun hingga dua angka dan malah dapat mencapai kes satu angka jika membabitkan rakyat Malaysia. Mungkin dalam tempoh seminggu lagi dalam unjuran kita, kita akan kekal dengan satu angka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, bagi memutuskan penularan Covid-19, adalah penting menggunakan Akta 342 dengan kuasa menggunakan akta itu juga sudah pun diturunkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela dan pelbagai agensi lagi.

"Pelbagai agensi itu membantu KKM menguatkuasakan Akta 342. Sekarang ini kita masuk fasa pemulihan.

"Bagi fasa pemulihan ini, pemantauan penting menggunakan Akta 342. Namun, kawalan sempadan masih diperketatkan untuk menyekat kemasukan individu dari luar negara selain tidak menggalakkan rakyat Malaysia untuk ke luar negara. Kita masih ketatkan kawalan sempadan negara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 6:24pm
    d