mutakhir

7 strategi PKPP [METROTV]

Oleh Shamran Sarahan dan Raja Noraina Raja Rahim

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun ini berteraskan kepada tujuh strategi, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, stategi itu adalah pengukuhan kesihatan awam, perundangan dan penguatkuasaan, pengukuhan kawalan sempadan, pembukaan sepenuhnya sektor ekonomi, pembudayaan kebiasaan baharu, pemerkasaan tanggungjawab komuniti serta pelindungan golongan berisiko.

Ia akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Khas Menteri Mengenai Pelaksanaan PKPP dipengerusikan Menteri Kanan (Keselamatan) dan Menteri Besar serta Ketua Menteri di peringkat negeri.

Selain itu, katanya, kerjasama semua pihak termasuk swasta, pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin serta ketua komuniti juga diperlukan.

"Sejak PKP dilaksanakan hampir tiga bulan lalu, kerajaan melaksanakan pelbagai strategi dan langkah yang wajar dalam menangani dan membendung wabak Covid-19.

"Banyak kawalan dan sekatan dikenakan. Itu tak boleh, ini tak boleh dan sebagainya. Namun, saya sedar kerajaan tidak boleh mengawal kehidupan rakyat buat selama-lamanya untuk menghindari jangkitan wabak ini.

"Saya tahu rakyat juga mahu menjalani kehidupan seperti biasa, ingin keluar bekerja, berniaga, beriadah, melancong bersama keluarga dan melakukan aktiviti lain dalam kehidupan seharian," katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Justeru, Muhyiddin berkata, kelonggaran diberikan namun masyarakat perlu mengambil tanggungjawab mengamalkan kebiasaan baharu kehidupan dan mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

"Tanggungjawab untuk memastikan wabak Covid-19 kekal terkawal berada di tangan semua.

"Saya juga ingin menekankan kepentingan peranan pemimpin masyarakat termasuk ketua kampung, ketua komuniti dan NGO dalam membendung penularan wabak dengan memastikan masyarakat mematuhi SOP ditetapkan. Tidak kurang pentingnya ialah peranan majikan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 3:56pm
    d