mutakhir

'Kita jaga diri kita' - Dr Noor Hisham

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

"KITA jaga diri kita, kita jaga keluarga kita, kita jaga komuniti kita, dan kita jaga negara. Kalau bukan kita, siapa lagi," itu saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, selepas 35 hari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan iaitu mulai 4 Mei lalu, hari ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mula dikuatkuasakan 10 Jun 2020.

Menurutnya, penguatkuasaan PKPP adalah pelaksanaan secara berperingkat oleh kerajaan bagi memastikan negara dapat melalui fasa pemulihan dalam penularan Covid-19.

"Lebih banyak sektor ekonomi, aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan dan perniagaan akan dibuka malah pergerakan masyarakat juga diberi kelonggaran.

"Pastinya ini akan dilaksana berpandukan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pendekatan ini diharap dapat mengimbangi nyawa dan mata pencarian (lives and livelihoods), sebagai sebahagian daripada pemulihan (soft landing) dan seterusnya menyediakan negara bagi strategi pelepasan atau 'exit strategy'.

"Namun begitu, pelaksanaan PKPB dan PKPP hanya akan berjaya dengan pematuhan semua pihak terhadap SOP ditetapkan, dan juga pembabitan komuniti dalam sama-sama membudayakan norma serta kelaziman baharu dalam kehidupan seharian kita.

"Oleh itu, KKM menyeru masyarakat untuk terus patuh kepada SOP dan kekal waspada bagi memastikan rantaian penularan jangkitan Covid-19 dapat diputuskan dalam komuniti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 6:34pm
    d