mutakhir

Individu ingkar PKPP boleh dikompaun [METROTV]

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim

INDIVIDU yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih boleh dikenakan kompaun RM1,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun banyak kelonggaran diberikan dalam pelaksanaan PKPP itu namun masyarakat perlu mematuhi SOP ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, kawalan pergerakan sudah dikurangkan sepenuhnya berbanding sebelum ini yang mengenakan sekatan jalan raya untuk mengawal pergerakan masyarakat.

"Mungkin selepas ini tiada lagi sekatan jalan raya kecuali untuk ops (operasi) jenayah lain.

"Penumpuannya berbeza iaitu untuk memastikan SOP dipatuhi sebagai contoh di tempat awam, pasar raya, pasar awam, pasar tani dan pasar malam yang dibenarkan dengan SOP tertentu.

"Kawalan mungkin hanya kepada pematuhan SOP kerana tiada lagi kawalan pergerakan dan semua bebas bergerak tetapi SOP masih ada," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, pihak berkuasa akan melakukan pemantauan berterusan terutama di kawasan pasar dan premis perniagaan bagi memastikan SOP dipatuhi

Katanya, pemilik premis boleh dikenakan tindakan mengikut Akta 342 sekiranya didapati tidak mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 8, 2020 @ 3:38pm
    d