mutakhir

Padah ingkar PKPB kena kompaun

Oleh Juwan Riduan

TINDAKAN lapan remaja yang melepak sambil bermain permainan digital di kawasan koridor Apartment Ganggarak Permai, Labuan, pagi tadi menerima padah apabila mereka dikenakan kompaun kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Semua suspek lelaki berusia 17 hingga 19 tahun itu ditahan pasukan pemantauan PKPB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan kira-kira jam 5 pagi.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai sekumpulan remaja sedang berkumpul dan membuat bising di kawasan koridor apartment itu.

Katanya, pasukan pemantuan PKPB kemudian menjalankan pemeriksaan dan mendapati remaja terbabit sedang bermain permainan digital di telefon bimbit.

"Semua remaja terbabit didapati berkumpul dengan mengabaikan penjarakan sosial.

"Mereka dibawa ke Balai Polis Labuan untuk tindakan kompaun," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Muhamad Farid berkata, kompaun dikenakan mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 6) 2020 iaitu kesalahan mengadakan suatu perhimpunan sosial yang dilarang.

"Kesalahan kompaun itu memperuntukkan hukuman denda RM1,000 dan hendaklah dibayar dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan di Pejabat Kesihatan Labuan.

"Kegagalan membayar kompaun dalam tempoh yang ditetapkan akan menyebabkan tindakan pendakwaan di mahkamah diambil oleh Jabatan Kesihatan Labuan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 8, 2020 @ 7:46pm
    d