mutakhir

Surau pusat beli belah, R&R dibuka esok [METROTV]

Oleh Murni Wan Omar dan Raja Noraina Raja Rahim

SURAU di pusat beli belah dan kawasan rehat rawat boleh mula operasi esok.

Menteri Kanan (keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mesyuarat khas hari ini memutuskan untuk membenarkan surat di pusat beli belah dan kawasan rehat rawat mula dibuka esok.

"Mesyuarat hari ini membenarkan pembukaan semula surau di pusat beli belah dan kawasan rehat dan rawat. Kita tahu rentas negeri kini dibenarkan mulai esok dan saya percaya ramai akan melakukan perjalanan jauh.

"Begitu juga dengan pusat membeli belah sudah ramai pengunjung. Jadi mulai esok semua dibuka. Bagaimanapun ia tetap tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Kepada mereka yang mahu menunaikan ibadat solat di surau perlu amal disiplin diri dengan mengamalkan penjarakan sosial dan sebagainya yang sudah ditetapkan majlis agama," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Beliau juga mengumumkan bahawa gerai selain kedai makan di kawasan rehat premis juga dibenarkan untuk beroperasi.

"Selain gerai makan banyak juga gerai lain yang menjual makanan kering dan sebagainya juga boleh beroperasi mula esok," katanya.

Ismail Sabri berkata pihaknya menerima rayuan daripada restoran dan kedai runcit serta kedai yang menjual makanan yang hanya dibenarkan beroperasi hingga 10 malam.

"Oleh itu mesyuarat khas membenarkan ia beroperasi hingga jam 12 malam namun harus ditegaskan penjarakan sosial dan SOP yang ditetapkan sebelum ini perlu dipatuhi sepenuhnya.

"Kedai serbaneka dan runcit yang beroperasi 24 jam hanya dibenarkan beroperasi hingga jam 12 tengah malam sahaja. Dulu 10 malam kini tambahan dua jam lagi," katanya.

Beliau turut mengumumkan bahawa Zoo Negara dan zoo lain juga dibenarkan kembali beroperasi namun perlu patuh kepada SOP yang sudah dipersetujui sebelum ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 2:48pm
    d