mutakhir

'Tolong jaga si bunting ya'

Oleh Ahmad Ismail

"TOLONG jaga si bunting ya." Itu pesanan Inspektor Widyawati Rahmat yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Jementah, Segamat tengah malam tadi selepas menyerahkan kucing betina yang setia menemani anggota polis dan tentera sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada penduduk tempatan.

Widyawati, 43, berkata, sepanjang bertugas di situ, si bunting menjadi penghibur kepada mereka.

Menurutnya, anggota polis dan tentera yang bertugas menjadikan waktu rehat selepas SJR dalam tempoh PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk membelai dan memberi makan kucing terbiar itu.

"Kucing ini menjadi penghibur dan peneman kami ketika waktu terluang.

"Semasa ia datang dulu, keadaannya sangat kurus dan tidak terurus namun kini kelihatan berisi sedikit," katanya.

Dia berkata, bunting seolah-olah tahu ia akan ditinggalkan selepas pasukan petugas mengemas peralatan berikutan penamatan SJR malam tadi.

"Ia berlari ke arah kami dan mengiau kuat seolah-olah tahu akan ditinggalkan.

"Sebak rasa hati kerana terpaksa berpisah dengan haiwan yang menemani kami di sini. Tapi saya berharap tuan baru bunting dapat menjaga ia sebaik mungkin," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, pihaknya amat menghargai kerjasama orang awam sepanjang tempoh PKP.

"Walaupun tiada lagi SJR, polis akan terus memastikan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi," katanya.

Turut hadir, Ketua Bahagian Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, Asisten Superintendan Ihsan Abdullah dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (KBSJND) IPD Segamat, Asisten Superintendan Mohd Kairil Mohd Johar.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 10, 2020 @ 1:57pm
    d