mutakhir

SOP sukan renang dibincang Jumaat ini [METROTV]

Oleh Hayati Ibrahim dan Amir Abd Hamid

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan sesi libat urus bersama penggiat industri sukan renang Jumaat ini, untuk mendapat pandangan bagi memperincikan prosedur operasi standard (SOP) lebih komprehensif berhubung sukan itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sesi itu akan turut membabitkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta agensi berkaitan.

"Segala pandangan dan SOP itu kemudian akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dipersetujui," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Mengenai tapak binaan, Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sudah memeriksa 162 tapak binaan di seluruh negara semalam membabitkan 172 penguat kuasa.

Katanya, pemeriksaan mendapati 172 tapak pembinaan mematuhi SOP, manakala 24 lagi tidak patuh dan diberi amaran, manakala 66 lagi belum beroperasi.

"Penguat kuasa CIDB juga mengeluarkan dua arahan menutup tapak kerana tidak patuh SOP.

"Jumlah kumulatif tapak binaan di seluruh negara yang sudah diperiksa CIDB sehingga hari ini adalah 7,424.

"Daripada jumlah itu, 1,625 tapak binaan patuh SOP, manakala 352 tidak patuh dan diberi amaran, dan 15 lagi diarah tutup kerana tidak mematuhi SOP," katanya.

Sementara, 5,432 lagi tapak binaan tidak beroperasi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 3:04pm
    d