mutakhir

Warga China, Yaman didenda rentas negeri tanpa kebenaran

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

DUA penuntut warga asing dijatuhi hukuman denda RM1,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Jelebu kerana merentas negeri tanpa kebenaran pada 7 Jun lalu.

Majistret Rahimah Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas Ren Ying Ying, 27, dari China dan Mohammed Abdullah Mohammed, 31, dari Yaman selepas tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 2.30 petang didapati bergerak dari dari Selangor ke Jelebu, Negeri Sembilan ketika ditahan di sekatan jalan raya Ops Covid-19 di Kilometer 14 Jalan Kuala Klawang - Genting Peres.

Justeru mereka dituduh mengikut Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 15(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes kedua-dua tertuduh ditahan ketika menaiki sebuah kereta dengan alasan bersiar-siar serta gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran rentas negeri.

Rahimah turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Muhamad Fauzi Md Yasin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Saranjeet Kaur Sidhu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 3:52pm
    d