mutakhir

Patuhi SOP sebelum dan selepas solat berjemaah [METROTV]

Oleh Hayati Ibrahim dan Yusmizal Dolah Aling

JEMAAH yang menunaikan solat Jumaat dan berjemaah di masjid diingatkan supaya melaksanakan penjarakan sosial di dalam dan di luar masjid.

Selain itu mereka perlu menjaga jarak antara ahli jemaah adalah sejauh satu meter antara satu sama lain dan jemaah wajib memakai pelitup muka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, cara masuk dan keluar masjid juga mesti beratur serta menjaga penjarakan yang terkawal.

"Semua ahli jemaah yang hadir hendaklah mengambil wuduk di rumah dan membawa sejadah sendiri sebelum hadir ke masjid.

"Jika wuduk terbatal, anda dibolehkan untuk mengambil wuduk di pili air yang ditetapkan saja. Penggunaan kolah tidak dibenarkan.

"Jemaah dipastikan terus bersurai dalam keadaan tenang dan tidak ada bersalaman dan bersentuhan sepanjang berada di masjid, surau Jumaat dan surau.

"Tiada perkumpulan dibenarkan selesai solat Jumaat sama ada di dalam atau di luar masjid," katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya pada masa sama, pihak berkuasa agama negeri juga diminta untuk mengambil serius beberapa seperti mewujudkan kaunter di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan, sanitasi tangan serta rekod kehadiran jemaah.

Katanya, mereka juga melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitarnya termasuk tandas dan ruang wuduk sebelum dan selepas solat.

"Penggunaan tandas perlu dihadkan mengikut jumlah bilik tandas yang ada pada satu-satu masa

"Kehadiran direkodkan di dalam buku kehadiran atau aplikasi yang disediakan pihak jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau.

"Pintu masjid dibuka hanya sejam sebelum azan dan ditutup sejurus selepas selesai doa dibacakan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 5:10pm
    d