mutakhir

16 premis di Kompleks Pasar Meru dibenar beroperasi semula

Oleh Norzamira Che Noh

SEBANYAK 16 daripada 20 premis di Kompleks Pasar Meru, Klang yang diarahkan tutup pada 5 Jun lalu dibenarkan beroperasi semula mulai esok.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, 16 premis berkenaan dibenarkan beroperasi selepas didapati mematuhi semua arahan yang diberikan.

"JKNS menjalankan pemeriksaan semula ke atas premis perniagaan di sekitar Jalan Meru itu hari ini bagi menilai tahap kepatuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) pembukaan semula ekonomi yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan di bawah sektor peruncitan dan makanan.

"Hasil pemeriksaan, 16 daripada 20 premis didapati mematuhi semua arahan yang diberikan dan dibenarkan beroperasi semula mulai esok.

"Empat lagi premis tidak dibenarkan beroperasi kerana masih belum melaksanakan sepenuhnya arahan yang diberikan dan disambung penutupan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sejak kerajaan mengumumkan pembukaan semula sektor ekonomi tertentu pada 4 Mei lalu, di peringkat Negeri Selangor, sebanyak 1466 premis perniagaan sudah dipantau oleh JKNS bersama pihak polis.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 55 premis sudah diarahkan tutup sehingga semua arahan diberikan diambil tindakan oleh pemilik premis.

"Kita akan menjalankan pemantauan secara lebih ketat dari masa ke semasa dalam memastikan pematuhan berterusan kepada SOP yang ditetapkan.

"Orang ramai terus diingatkan supaya terus mematuhi penjarakan sosial satu meter dan menggunakan pelitup muka ketika berada di tempat awam serta sentiasa menggunakan cecair pembasmi kuman atau mencuci tangan dengan kerap.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membawa kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan juga warga emas semasa mengunjungi tempat tumpuan awam," katanya.

Terdahulu pada 5 Jun lalu, kompleks pasar berkenaan diarahkan tutup serta merta selepas didapati tiada pemeriksaan suhu badan dan pendaftaran peniaga, tiada penjarakan sosial dan kemasukan pelanggan tidak dihadkan.

Kompleks itu diarahkan tutup dalam Operasi Bersepadu Agensi Penguatkuasa Pematuhan SOP Pembukaan Semula Ekonomi oleh JKNS bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 10:02pm
    d