mutakhir

Pertemuan keluarga umpama menyambut 1 Syawal

Oleh Amran Yahya

KEBENARAN perjalanan rentas negeri menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ternyata menggembirakan pasangan Azizee Ismail, 51, dan isterinya, Norzilah Md Din, 41, selepas kedua-dua keluarga mereka dipertemukan hari ini.

Pasangan ini selamat diijab kabulkan pada 13 Mei lalu di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Jempol ketika negara sedang melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Kedua-dua usahawan berstatus duda dan ibu tunggal masing-masing mempunyai lima dan empat anak menzahirkan rasa syukur kerana dipertemukan pada hari Jumaat yang mulia.

Azizee berkata, hari ini seolah-olah 1 Syawal bagi keluarganya apabila anak pertama dan keduanya yang sebelum ini berada di Kuala Lumpur dan Terengganu pulang malam tadi selepas perjalanan rentas negeri dibenarkan.

"Majlis ini dirancang oleh anak pertama dan kedua saya. Mereka ingin melihat kami semua berkumpul seolah-olah seperti di pagi 1 Syawal dengan berpakaian hari raya.

"Maklumlah, pada pagi Aidilfitri pertama lalu mereka semua berada di lokasi berbeza kerana tugas, dan pagi ini mereka dapat kembali merasai suasana seperti di pagi Syawal," katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu Kikir, Jempol.

Azizee dan Norzilah berazam yang menjadikan Aidilfitri ini sebagai ruang untuk mereka serta anak-anak saling kenal mengenali lebih rapat lagi.

"Dalam melalui kehidupan sebegini, hubungan antara anak-anak kami adalah lebih penting. Maklumlah, mereka diibaratkan seperti keluarga baru dan Alhamdulillah, saya bersyukur kerana mereka semua dapat menerima serta hormat-menghormati antara satu sama lain," katanya.

Azizee berkata, mereka merancang bercuti bersama keluarga di utara tanah air sebagai hadiah perkahwinan mereka disamping menjadikan percutian sebagai landasan mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Berita berkaitan

'Alhamdulillah, kami akhirnya disatukan'

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 11:09am
    d