mutakhir

Tak patuh SOP: Polis pantau Zoo Negara [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PASUKAN pemantau Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dihantar ke Zoo Negara dan lokasi tumpuan bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di kawasan berkenaan.

Ia susulan satu video tular mengenai pengunjung yang tidak mematuhi SOP dan tidak mengamalkan penjarakan sosial.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau sudah menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung perkara ini.

"Saya ada terbaca di media sosial mengenai perkara ini, saya juga sudah menghubungi Ketua Polis Negara dan dia akan menghantar pasukan pematuhan SOP ke Zoo Negara untuk memantau dan melihat sendiri perkara berkenaan.

"Kebebasan yang diberikan tidak bermakna rakyat kita bebas melakukan apa saja. SOP mesti dipatuhi, kebebasan yang diberi boleh ditarik balik jika membahayakan kesihatan," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, zoo mungkin boleh ditutup semula jika pengunjung tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Kebebasan yang kita beri hendaklah dijaga bersama, patuhi SOP tidak kira di mana saja kita berada jika tanpa polis, masyarakat perlu kawal diri sendiri.

"Kita tidak mahu ada kluster baru pula di zoo, sama-sama kita jaga keselamatan dan kesihatan kita," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: June 14, 2020 @ 3:09pm
    d