mutakhir

10 Pati ditahan di kawasan SEMCO

Oleh BERNAMA

SEPULUH pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Selangor di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama, dekat Kuala Langat, hari ini, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran sejak awal bulan ini.

Menurut sumber, 803 warga asing diperiksa dalam operasi selama kira-kira tiga jam yang bermula pada 9 pagi.

Mereka yang ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen itu terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita Indonesia, seorang lelaki Bangladesh dan empat lelaki India, berusia di antara 19 hingga 50 tahun.

Beliau memberitahu Bernama semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Selangor sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen di Semenyih.

Menurut sumber, kes disiasat mengikut Seksyen 35, Akta Imigresen 1959/63.

Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama dikenakan PKP secara pentadbiran pada 2 Jun selepas 20 pekerja asing sebuah syarikat pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang tinggal di kawasan itu positif Covid-19.

Kawasan PKP secara pentadbiran seluas 43.3 hektar itu didiami kira-kira 9,000 penghuni dengan 30 peratus daripadanya rakyat asing.

Tinjauan Bernama di lokasi hari ini mendapati kebanyakan anggota yang terbabit dalam operasi di kawasan itu mengenakan peralatan perlindungan peribadi (PPE) sebagai langkah berjaga-jaga.

Selain anggota Jabatan Imigresen Selangor, difahamkan operasi hari ini turut disertai oleh polis, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Majlis Perbandaran Kuala Langat dan Kementerian Kesihatan (KKM).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 14, 2020 @ 6:34pm
    d