mutakhir

Peniaga, pelanggan pasar patuh SOP [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

OPERASI pasar basah berjalan lancar walaupun dengan peniaga dan pelanggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19.

Pemerhatian di Pasar Keramat hari ini mendapati akttiviti perniagaan lancar tanpa berlaku kesesakan di ruang membeli.

Peniaga, Syamsul Rizal Wasil, 44, berkata, peniaga di pasar berkenaan sedia maklum mengenai SOP yang perlu dipatuhi sepanjang operasi perniagaan dijalankan terutamanya memakai pelitup muka.

Menurutnya, SOP itu tidak mendatangkan masalah kepada komuniti peniaga kerana ia dilihat dari sudut positif untuk mengelak penularan pandemik maut itu.

"Kami juga akan pastikan pelanggan menjaga jarak sosial masing-masing ketika membeli barang keperluan.

"Pelanggan dan peniaga juga akan disaring sebelum dibenarkan masuk ke dalam pasar," katanya ketika ditemui hari ini.

Bagi pelanggan, Mohamad Husaini Mohamed Aris, 23, suasana pasar lebih terkawal tanpa berlakunya kesesakan seperti sebelum ini.

Katanya, aktiviti pembelian barang keperluan juga lancar walaupun perlu disaring sebelum dibenarkan masuk.

"Saya lebih yakin ke pasar apabila SOP kesihatan ini digunakan peniaga dan pelanggan kerana ia membantu memutuskan rantaian Covid-19.

"Orang ramai yang mahu ke pasar juga perlu bertanggungjawab untuk memastikan mereka tidak mempunyai simptom selain patuh kepada arahan kerajaan," katanya.

Pasar awam dan pasar pagi kini dibenarkan beroperasi dengan mematuhi SOP seperti penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan mengambil suhu sebelum berurus niaga.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: June 15, 2020 @ 3:31pm
    d