mutakhir

Anggota polis pantau SOP di Zoo Negara

Oleh BERNAMA

ANGGOTA polis kini ditempatkan di Zoo Negara bagi memastikan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya ditugaskan untuk memantau pergerakan setiap pengunjung yang hadir ke Zoo Negara.

"Setiap pengunjung diminta mematuhi SOP supaya penularan Covid-19 dapat diputuskan," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Baru-baru ini, tular gambar yang menunjukkan pengunjung tidak mengamalkan penjarakan sosial ketika menonton pertunjukan di Zoo Negara.

Sementara itu, Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly@Rahmat Ahmad Lana berkata, pengunjung agak ramai pada minggu pertama pembukaan Zoo Negara pada 10 Jun lalu dan mengakui ada antara mereka yang tidak mematuhi SOP.

Menurutnya, seramai 300 hingga 700 pengunjung hadir setiap hari dan bilangannya meningkat sehingga 1,500 orang pada hujung minggu.

"Kita akui pada awal pembukaan Zoo Negara selepas beberapa bulan ditutup kerana Covid-19, keadaan agak kelam kabut.

"Tetapi sekarang kita memastikan pengunjung mematuhi SOP dan dengan pemantauan polis serta agensi penguat kuasa lain turut membantu melancarkan operasi," katanya.

Rosly berkata, pihaknya akan menyediakan nombor kepada pengunjung yang datang dalam kumpulan keluarga bagi memudahkan SOP PKPP dilaksanakan.

Katanya, operasi Zoo Negara akan kembali seperti biasa pada Sabtu ini bermula dari 9 pagi hingga 5 petang.

Tinjauan Bernama di Zoo Negara, hari ini mendapati tempat tarikan orang ramai itu dipenuhi pengunjung dan masing-masing dilihat mematuhi SOP yang ditetapkan.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, kebebasan orang ramai di kawasan tumpuan awam seperti Zoo Negara boleh ditarik balik sekiranya dikesan gagal mematuhi peraturan dan SOP ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: June 15, 2020 @ 4:24pm
    d